Showing posts with label Artis luar. Show all posts
Showing posts with label Artis luar. Show all posts

Drama terbaru Jung Yunho?

Selepas drama Queen of Ambition, Jung Yunho dari kumpulan TVXQ akan berlakon dalam drama Man From The Stars bersama Kim Soo Hyun.

Bagaimanapun, menurut laporan All Kpop, pengurusan daripada pihak Yunho sendiri masih belum mengesahkan lagi pembabitan penyanyi berkenaan dalam drama tersebut.

“SM Entertainment dan Yunho memang masih lagi dalam peringkat perbincangan. Walaupun belum ada keputusan lagi, kemungkinan besar Yunho tetap akan berlakon dalam drama itu,” kata wakil SBS.

Pihak produksi memilih Yunho kerana lakonannya dalam drama Queen of Ambition disukai dan dipuji oleh penonton.

Selain Kim Soo Hyun, aktres Jun Ji Hyun juga dipilih untuk membintangi drama ini.

“Kim Soo Hyun dan Jun Ji Hyun sudah rasmi akan berlakon dalam drama ini. Jika Yunho menerima tawaran kami, drama ini kemungkinan akan mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja di Korea tetapi juga di luar Korea,” tambah pihak SBS.

Injunksi CNBLUE ke atas Crying Nut ditolak

Injunksi anti-fitnah yang difailkan CNBLUE ke atas kumpulan Crying Nut telah ditolak oleh pihak mahkamah.

Seperti yang dilaporkan di Kpop Starz, hakim Mahkamah Wilayah Tengah Seoul menolak injunksi tersebut dan menjelaskan, "Isi kandungan yang diterbitkan Crying Nut hanya sekadar pemberitahuan akan alasan dan butiran saman mereka serta respon mereka terhadap isu tersebut.

"Sukar untuk melihat ia sebagai dakwaan palsu atau satu percubaan untuk memfitnah CNBLUE," tambah pihak mahkamah lagi.

Sebelum ini, CNBLUE dan agensi naungan mereka, FNC Entertainment memfailkan injunksi terhadap Crying Nut untuk menghalang kumpulan tersebut daripada menerbitkan komen-komen fitnah bertulis tentang mereka.

Hal tersebut dilakukan selepas Crying Nut memfailkan saman perlanggaran hak cipta terhadap CNBLUE Februari lalu, dan mendakwa kumpulan tersebut telah mempersembahkan lagu mereka di rancangan muzik "M! Countdown" pada bulan Jun 2010 dengan menambah beberapa bahagian dari karya asal seolah-olah ia merupakan hasil ciptaan CNBLUE sendiri.

Lagu tersebut, "Deadly Offside", yang juga merupakan tema Pasukan Bola Sepak Korea untuk Piala Dunia 2002, telah dirakamkan oleh CNBLUE dan dikeluarkan dalam bentuk DVD di Jepun tanpa menyebut tentang Crying Nut dalam album tersebut.

Namun ketika itu, pihak FNC Entertainment mempertahankan CNBLUE dan menyalahkan pihak produksi "M! Countdown" yang tidak telus dalam membuat perancangan, dan telah pun membuat kenyataan maaf kepada Crying Nut di laman sesawang mereka.

Lee Hi duduki carta '21 Under 21' Billboard

Bintang baru YG Entertainment, Lee Hi baru-baru ini dinamakan seorang daripada bintang muda dalam senarai '21 Bawah 21' kelolaan Billboard. 

Menurut laman sesawang Kpop Starz, penyanyi berusia 17 tahun itu menjadi artis K-Pop keempat selepas HyunA, Wonder Girls dan IU berjaya memasuki senarai tersebut, yang turut menamakan Miley Cyrus (tempat ketiga), Justin Bieber (tempat kedua) dan One Direction (tempat pertama). 

Pelantun suara lagu "It's Over" itu berada di kedudukan ke-20 artis muda bawah 21 tahun yang terkenal dan berpengaruh. 
Walaupun baru berusia 17 tahun, Lee Hi berjaya menempatkan dirinya
setanding dengan pemuzik antarabangsa terkenal.

Menurut sumber Billboard, "Dalam masa 12 bulan, pendatang baru bernama Lee Hi ini menaiki carta sehingga setanding dengan para idola K-Pop yang lain. Lagu-lagunya seperti "1,2,3,4" dan "It's Over" selain daripada kolaborasinya bersama Psy dan Epik High turut mendapat sambutan hangat." 

Lee Hi merupakan pemenang tempat kedua rancangan realiti nyanyian "K-Pop Star" musim pertama yang disiarkan di saluran SBS tahun lalu.