Album UNIC untuk Gaza

Jika setahun yang lalu, kumpulan nasyid UNIC bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena seni dan mengembangkan perniagaan, tetapi sekarang mereka sudah mulai berasa lega kerana segala perancangan berjalan lancar.
Melalui syarikat mereka Unicdotmy Pro Sdn Bhd, sudah ada beberapa selebriti yang bernaung di bawah label itu termasuk Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi, Imam Muda Hassan Adli, Imam Muda Fakhrul Hassan, Imam Muda Nazrul Izwan Zolkiflee dan Imam Muda Azhar serta Ustaz Haslin Bahrin yang juga dikenali Ustaz Bollywood. 
UNIC dianggotai Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin (Fakhrul), Bazli Hazwan Che Osman (Bazli) dan Ahmad Fazli Abd Aziz (Fazli). 

Menurut Fazli, mereka mengambil Imam Muda bernaung di bawah syarikat Unicdotmy bagi membantu mengembang–kan keupayaan mereka dalam bidang dakwah dan setiap seorang daripada akan menghasilkan album.

Sementara itu, UNIC sendiri dalam proses untuk menghasilkan album khas untuk Gaza.

“Kini ia masih pada peringkat penyusunan lagu dan album itu adalah secebis usaha kami untuk membantu masyarakat Islam yang menderita di sana. Semoga usaha kecil kami ini dapat meringankan sedikit beban yang mereka tanggung. 

“UNIC juga akan menerbitkan album doa kerana Allah SWT suka hambanya berdoa kepada-Nya kerana doa menghubungkan kita dengan-Nya. Mintalah apa saja kepadanya secara berterusan pasti Allah SWT mendengar dan memakbulkannya. 

“Anak-anak perlu diajar berdoa dan bersyukur ke hadrat Allah SWT sejak mereka kecil kerana doa adalah senjata orang Mukmin. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang yang terus menerus berdoa (Hadis Riwayat Al-Auza’i). Begitulah pentingnya doa buat umat Islam. 

“Album doa itu akan memuatkan juga qunut nazilah yang jika diamalkan boleh memberikan ketenangan, mengelakkan mala petaka dan mengeluarkan kita daripada kesempitan,” kata Fazli. 

Di samping itu mereka juga akan meneroka bidang penerbitan dengan menerbitkan kapsul untuk siaran televisyen. 

Melebarkan kepakaran masing-masing 

Dalam kesibukan mereka bertiga memenuhi undangan menyanyi di seluruh negara, masing-masing juga ada tanggungjawab sendiri dalam menyebarkan syiar Islam. 

Fakhrul yang juga juara program realiti Akademi Al-Quran musim kedua terbitan TV9, aktif mengacarakan program televisyen, menghasilkan album doa dan terbaru dia merakamkan bacaan ayat suci al-Quran 30 juzuk menggunakan teknologi pen, sementara Fazli membaca tafsirannya. 

“Album itu sudah siap hanya menunggu kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri. Dengan penerbitan al-Quran teknologi audio itu, kami cuba beralih kepada media baru dalam pembacaan dan pemahaman kalam Allah SWT,” katanya. 

Fazli turut aktif sebagai pengacara dan mengadakan ceramah motivasi. Bazli pula menguruskan studio milik mereka. 

“Pembahagian kerja mengikut minat dan kemahiran masing-masing, tiada timbul salah faham kerana jemputan peribadi yang datang kepada saya dan Fakhrul tidak bercanggah dengan jadual persembahan berkumpulan. 

“Tiada masalah di antara kami yang mahu melebarkan bidang kepakaran masing-masing kerana meskipun kami tampil solo untuk acara lain, kami tetap membawa nama UNIC. Apa pun ia tetap memberi faedah kepada kumpulan,” katanya. 

Kumpulan itu juga terbabit dalam program Dikir Zikir terbitan TV AlHijrah yang sedang bersiaran untuk musim keempat dan dalam perancangan untuk menerbitkan musim kelima. 

UNIC yang semakin selesa dan kukuh saban waktu gigih memikirkan cabang baru perniagaan yang boleh diusahakan. Pernah ditipu oleh pihak tertentu dan ada juga perniagaan yang tidak begitu menjadi, sekarang UNIC lebih senang menggerakkan aktiviti mereka sendiri tanpa bergantung harap kepada sesiapa. 

“Dulu kami belum ada pengalaman dan terpaksa mengharapkan bantuan orang lain dalam merealisasikan cita-cita kami. Dalam keghairahan kami itu, kami menyerahkan kepada kebijaksanaan orang lain yang mana akhirnya kami juga yang ditimpa kesusahan. 

“Oleh itu kami sepakat melakukan semua kerja sendiri terutama dalam urusan kewangan. Biarpun kesuntukan waktu dan kesibukan yang tiada hentinya, kami puas hati dan Alhamdulillah segala keras kerja itu semakin menampakkan hasilnya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

ape yang diam2 tu try je komen hik!!