Tatkala Anuar Zain menangis

Merealisasikan Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari menuntut bukan sedikit pengorbanan dan kesabaran daripada insan bernama Shahrul Anuar Zain, 43.
Tekanan cukup ting­ gi jika percaturannya itu gagal. Barangkali terpaksa menanggung kerugian besar kerana seperti dimaklumkan berulang kali sebelum ini, konsert solo pertamanya itu ditanggung sepenuhnya Anuar dan Universal Music. 
Namun penulis pasti, dia kini sudah boleh menarik nafas lega de­ngan kehadiran 6,000 penonton yang membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam, malam kelmarin membuktikan ketegarannya meneruskan konsert ini sekali gus mengenepikan segala kesulitan satu keputusan yang berani dan tepat pernah dilakukan. 

Nyata, harga tiket yang boleh dianggap termahal (paling mahal RM1,200) dalam sejarah persembahan artis tempatan bukan penghalang untuk Anuar mengajak peminatnya berhimpun dalam persembahan istimewa itu.

“Sewaktu pihak pengurusan bertanya adakah saya bersedia mengadakan konsert ini, terus-terang ada kegusaran.

Saya membayangkan jumlah penonton mungkin 1,500 atau maksimum 4,000 orang. Tetapi malam ini (kelmarin), saya terkejut apabila difahamkan jumlah penonton mencecah 6,000 orang,” katanya. 

Berpuas hati secara keseluruhan dengan persembahannya, Anuar bagaimanapun berkata, sebagai manusia pasti ada perkara yang boleh diperbaiki pada masa-masa akan datang. 

“Dengan jumlah penonton yang hadir saya amat berpuas hati. Meskipun mengalami pelbagai kesulitan seperti ketiadaan penaja dan terpaksa menukar lokasi saat akhir namun ia berjaya dilaksanakan,” katanya ditemui dalam sidang media diadakan sebaik tamat konsert berkenaan. 

Sehubungan itu, Anuar turut diselubungi perasaan sebak dengan air mata yang bertakung. 

Kata Anuar, dia bukan seorang yang mudah menangis dan kehadiran ribuan penonton membuat­kannya berasa terharu. 

“Saya bukan seorang yang mudah menangis. Jika berdepan sesuatu masalah pun saya akan ‘move on’. Kata orang tua-tua, saya ini keras hati namun perasaan malam ini tidak boleh dibendung. 

“Saya terharu melihat penonton yang hadir pada malam ini. Selama 30 tahun menyanyi, peminatlah yang menyokong kuat kerjaya seni saya sehingga masih bertahan sampai sekarang. Lebih membuatkan hati saya terusik apabila terpandang wajah kedua-dua orang tua saya,” katanya. 

Kejayaan konsert itu turut meyakini Anuar untuk muncul dengan konsert seterusnya yang setakat ini baru berlegar-legar dalam fikirannya. 

“Ada perancangan tapi bukan waktu yang terdekat dan ia juga tergantung pada masa yang sesuai. Harap konsert ini mendapat banyak pendedahan untuk melibatkan penaja dalam penganjuran konsert seterusnya,” katanya. 

Menyentuh perjalanan konsert selama dua jam setengah itu, Anuar membuka tirai konsert kira-kira jam 9 malam menerusi lagu I’m The Lucky One dengan iri­ngan 26 pemuzik bersama empat penyanyi latar. 

Dipimpin Mac Chew selaku pengarah muzik, Anuar seterusnya menghiburkan penonton dengan lagu Bila Resah yang diberi nafas baru dengan penerapan elemen jazz. 

Kemudian, Suria dan Siara menyusul, sebelum penyanyi yang meraikan ulang tahunnya yang ke-43 pada 15 Februari sehari sebelum konsert berkenaan diadakan membawa penonton mengimbau perjalanan menerusi dua lagu yang boleh dianggap penting dalam melonjakkan kerjaya nyanyiannya iaitu Jangan Bersedih Lagi dan Mungkin. 

Lontaran vokal hebatnya terus menggamit pendengaran penonton apabila Anuar menyampaikan pula lagu Ajari Aku dan membikin kejutan apabila menampil­kan Nora Danish yang juga model klip video lagu berkenaan. 

Pandangan romantis Anuar terhadap Nora yang mengenakan gaun pengantin rekaan Hatta Dolmat tidak berakhir dengan senyuman serta renungan malah, ciuman di tangan pelakon jelita itu sehingga Nora tersipu-sipu. 

“Nora adalah sahabat saya dan tindakan mencium tangannya itu sebagai aprisiasi saya terhadap sahabat wanita,” katanya ketika hal berkenaan dibangkitkan. 

Sebelum beralih ke set kedua, Anuar menunaikan janjinya dengan menayangkan klip video lagu terbarunya Sempurnakan Aku yang masih mengekalkan Nora Danish sebagai pelakonnya secara eks­klusif di hadapan semua pencintanya. 

Menukar persalinan sut rona ‘velvet’ sekali gus menandakan masuk segmen kedua, Anuar terus memaku penonton dengan lagu Keabadian Cinta serta lagu rancak, Kau Bunga Cintaku diikuti Perpisahan, Kembalilh Kasih, Ku Hanya Milikmu dan Ketulusan Hati. 

Jika sebelum ini jejaka kelahiran Merlimau, Melaka itu pernah mengumumkan tiada ‘gimik’ dan artis undangan akan terbabit, ia rupanya disimpan sebagai gimik semata-mata Adibah, Nora, Dina dan Alvira Arul muncul sebagai penyanyi latar tatkala lagu Cinta Harus Memiliki dinyanyikan dan paduan suara mereka membuat­kan penonton memberikan ‘standing ovation’“Pengarah konsert, Jennifer Thompson yang mencadangkan idea ini. 

Kehadiran ketiga-tiga penyanyi tu satu penghormatan buat saya dan mereka sangat dahsyat,” katanya. 

Pada set ketiga, adik kepada penghibur terkenal Ziana Zain itu menampilkan lagu pembukaan Sesuci Cintamu yang mana susunan muzik balada diubah kepada rancak. 

Rangkaian lagu seterusnya yang diperdengarkan adalah Bidadari, Semua Untukmu, Teman Terulung dan Lelaki Ini. Tidak melupakan era zaman kanak-kanaknya di mana permulaan awal pembabitannya dalam bidang nyanyian yang berjaya dipertahankan sehing­ga hari ini , Kain Pelikat, turut di senaraikan dalam persembahannya. 

Diiringi penari cilik dari kumpulan Swatari, Anuar menamatkan persembahannya dengan menyampaikan lagu Sedetik Lebih selepas penonton menjerit ‘we want more’!

0 comments:

Post a Comment

ape yang diam2 tu try je komen hik!!